LAWATAN KE HOSPITAL SULTAN ISMAIL

7 MAC 2019 – Seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun 3 dan 4 program Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Elektronik) atau singkatannya SKEL mendapat pengalaman yang berguna serta inpirasi sepanjang lawatan sambil belajar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Mereka diiringi oleh 7 orang pensyarah (BMIE staf) dan 2 orang penolong jurutera dari divisyen Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut pengarah program lawatan, Puan Mitra Binti Addi, lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peralatan perubatan yang digunakan di hospital serta mendalami aplikasi kejuruteraan dan sistem pengurusan dalam teknologi penjagaan kesihatan. Secara tidak langsung, pelajar juga mendapat gambaran tentang skop pekerjaan yang berkaitan dengan elektronik perubatan.

Sepanjang lawatan ini, pelajar telah di beri penerangan teknikal mengenai operasi di Hospital Sultan Ismail dan dibawa melawat ke Unit Hemodialisis, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Jabatan Radioterapi dan Onkologi. Alumni program SKEL, yang kini bertugas sebagai Jurutera, Ahmad Safwan Bin Ahmad Kamil bersama-sama dengan staf teknikal hospital telah berbesar hati untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bekerja di sebuah hospital serta memberi penerangan tentang penggunaan peralatan perubatan kepada para pelajar. Pengalaman berada dan melihat sendiri modaliti pengimejan seperti Digital X-Ray dan Imbasan CT dan dan seharusnya banyak memberi input berguna kepada para pelajar.